BUDAYA DAN ADAT RESAM MASYARAKAT BANJAR DI PERAK

 PAKAIAN

Orang Banjar ada pakaian tradisinya dan turut digunakan dalam persembahan budaya. Pakaiannya yang ringkas dan sekadar mencerminkan imej masyarakat itu menjadi petani. Pakaian tradisional yang biasa dipakai di hari biasa oleh remaja dan orang dewasa kaum lelaki Banjar adalah seluar panjang yang menutup kaki. Juga dikenakan kemeja lengan panjang dengan leher baju bulat. Bahagian dada terbelah berkancing tiga dan tanpa poket. Pada saat-saat tertentu pakaian kelengkapan pakaian ini ditambah dengan kain sarung yang diletakkan di bahu. Manakala, warna yang digunakan oleh remaja lebih terang dan dominan seperti warna kuning. 

Lelaki yang berusia bagi masyarakat Banjar pula mengenakan baju palimbangan iaitu kemeja berlengan panjang dengan leher baju bulat yang dilengkapi butang lima dan mempunyai poket sebanyak tiga buah. Pasangannya menggunakan kain sarung yang lazim disebut tapih kaling iaitu sejenis sarung yang terbuat dari katun atau sutra bermotif garis-garis melintang dan membujur. Penutup kepala pula menggunakan kopiah dari kain satin atau kupiah jangang. Alas kakinya ada pelbagai jenis iaitu sandal kalipik, sandal tali silang dan selop. 





Pakaian adat tradisi Banjar

ADAT MENANAM URI

Terdapat kaedah menanam uri iaitu uri yang keluar bersama bayi dengan membasuh dan membaca bacaan tertentu sebelum ditanam. Kemudian, uri tersebut ditanam bersama sembilu, cabai, bawang, asam, bawang dan dimasukkan ke dalam periuk tanah yang mempunyai lubang di bawahnya dan tidak dikambus. 

ADAT UPACARA NAIK BUAIAN

Upacara naik buaian selalunya diadakan pada bulan maulud ataupun pada Rabiulawal yang disertai dengan upacara berzanji dan marhaban. Kelainan upacara ini adalah mengikut jantina bayi tersebut. Jika bayi tersebut adalah lelaki, mereka perlu dipakaikan dengan kain batik lepas dan dialas dengan kain belacu yang dicelup dengan dua warna secara berselang-seli. Warna yang digunakan adalah putih kemudian merah dan putih kembali. Bagi bayi perempuan pula yang membezakannya adalah warna kain belacu yang bermula dengan merah dan berselang-seli dengan putih dan kemudian merah.

Upacar ini dilakukan tanpa upacara cukur jambul. Mereka hanya akan membawa bayi tersebut mengelilingi buaian sebanyak 3 kali. Di tepi buaian itu diletakkan sebuah bakul yang mengandungi segantang beras, satu gula kabong, sebiji kelapa, sepiring pulut, sebiji telur rebus dan 2 batang lilin. Dua batang lilin tersebut akan dinyalakan sambil berdoa supaya diterangkan hati secerah cahaya lilin tersebut. 

Selesai upacara, semua barang akan diserahkan kepada orang yang meletakkan bayi ke dalam buaian. Pada tali buaian pula diikat makanan seperti 3 biji ketupat nasi, 3 biji ketupat pulut, kuih cincin dan pisang dengan tujuan kehidupan kanak-kanak tersebut akan menjadi semanis-manis makanan tersebut. Selesai sahaja selawat, makanan ini akan diserahkan kepada kanak-kanak yang datang melihat dan memeriahkan majlis. 
Majlis naik buaian

BUDAYA BAPUKUNG

Budaya yang dinamakan 'bapukung' bukan sekadar majlis cukur jambul tetapi dipraktikkan sejak dahulu sehingga ke ari ini. Bapukung diambil dari kata 'pukung' yang bermaksud posisi duduk dan leher diikat dengan kaki diatur seperti posisi bayi ketika berada dalam kandungan.

Oleh kerana itu sedikit berbeza apabila melihat budaya ini kerana kedudukan bayi bukan dibaringkan dalam buaian tetapi diletakkan seperti sedang duduk dan seterusnya ada ikatan sehelai kain batik lain yang menjerut badannya di bahagian atas. Walau keadaan bayi kelihatan kurang selesa, namun sebenarnya kedudukan sebegini menyebabkan bayi berkenaan merasa selesa seperti badannya didakap erat. 

Budaya bapukung merupakan satu kaedah popular bertujuan memberi rasa selesa seolah-olah berada dalam dakapan ibu membolehkan bayi tidur lebih lama tanpa rasa terganggu. Megikut sejarah, etnik Banjar telah menerapkan cara menidurkan bayi bapukung sebagaimana diajarkan oleh nenek moyang mereka pada ribuan tahun yang lalu.

Bapukung

Cara menggunakan bapukung










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SEJARAH ETNIK BANJAR

BAHASA DAN MAKANAN TRADISI ORANG BANJAR